Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedang memantau perkembangan terkini Sukan SEA Filipina 2019 setelah wujud kebimbangan temasya itu terpaksa ditangguhkan ekoran pergolakan dalaman Majlis Olimpik Filipina (POC) sehingga mesyuarat tergempar perlu diadakan Selasa depan.

Perubahan pucuk pimpinan POC mengundang spekulasi temasya dwitahunan itu, yang sepatutnya bermula 30 November depan, terpaksa ditangguhkan, terutama apabila presiden badan itu, Ricky Vargas, meletak jawatan secara mengejut dan digantikan naib presiden 1, Jose Romasanta.

Namun, Pengerusi POC, Abraham Tolentino, mengarahkan pemilihan khas diadakan selepas mendakwa Romasanta tidak layak menjadi presiden.

Apa yang pasti, pegawai MOM bersedia untuk menghadiri mesyuarat tergempar Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di Filipina, Selasa depan.

“Memang kami mahu tahu apa kedudukan mereka dengan perubahan yang telah berlaku dan sememangnya wujud kebimbangan daripada negara lain.

"Jadi, kalau boleh dalam masa terdekat dapat berjumpa mereka bagi mengetahui sebarang perkembangan,” kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

Sukan SEA Filipina 2019 akan diadakan di tiga venue iaitu Metro Manila, Subic dan Clark.

Pergolakan dalaman POC dikhuatiri menjejaskan persiapan temasya itu, terutama pembinaan venue baru seperti pusat akuatik dan stadium utama.

“Mereka mungkin memerlukan masa lebih lama, penundaan Sukan SEA ke tarikh lain atau mengurangkan jumlah sukan berbanding 56 jenis yang dilihat terlampau banyak,” ujarnya.