Chef-De-Mission (CDM) ke Sukan SEA Filipina 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berpuas hati dengan lawatan pertama persediaan atlet kebangsaan selain mahu mereka kekal fokus bagi temasya dwitahunan itu November depan.

Selepas melakukan tinjauan terhadap lima jenis sukan, iaitu menembak, karate, taekwondo, wushu dan ping pong, beliau merumuskan semua atlet mempamerkan semangat yang tinggi.

Menurutnya, pasukan Malaysia tiada pilihan selain memberikan saingan yang sengit dalam saingan Sukan SEA Ke-30 nanti.

Buat masa ini, beberapa masalah menjelang kejohanan itu telah dikenal pasti, namun rombongan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) yang diketuai oleh Ketua Pengarah, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, akan ke Filipina untuk persediaan atlet negara.

"Kami serius untuk selesaikan jika ada masalah berbangkit kerana saya tidak mahu atlet pergi ke sana dengan kerisauan tidak mendapat makanan yang sepatutnya. Kami hanya mahu mereka fokus dengan aksi di sana dan selebihnya, biar kami buat," ujarnya.

Selain meninjau persediaan atlet, Megat Zulkarnain akan memastikan tuan rumah benar-benar melakukan persiapan rapi bagi mengelakkan sebarang permasalahan berlaku.

"Kesimpulan yang kami dapat daripada lima sukan yang kami lawati hari ini, semua sukan serius. Kami akui sebagai juara keseluruhan dalam edisi sebelum ini, kami tiada pilihan selain memberi saingan sengit," katanya.