Siasatan kegagalan kontinjen negara dalam kempen Sukan SEA Filipina 2019 menyerlahkan kepincangan di kolam renang serta hala tuju sebenar bola sepak Malaysia dalam temasya itu.

Bekas pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak berselindung di sebalik penyingkiran awal pasukan kebangsaan dalam temasya Filipina 2019.

Bagaimanapun, beliau yang kini memegang jawatan Ketua Unit Pembangunan Belia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan persiapan dan pemain yang mewakili Malaysia perlu seiring dengan misi dalam Sukan SEA sama ada untuk muncul juara atau menjadikan temasya itu sebagai medan pendedahan bakat muda.

"Pasukan lain bukan terlampau bagus berbanding pemain negara tetapi apa yang perlu kami lakukan sebelum Sukan SEA sama ada berlatih bersama atau inginkan pendedahan.

"Jika melihat Sukan SEA sebagai pencapaian yang cukup hebat, hantarlah pemain terbaik. Jika ia untuk pendedahan, hantar pemain lebih muda," katanya.

Sementara itu, skuad renang kebangsaan sedar dengan hakikat kehilangan pengaruh sebagai pencabar kepada Singapura dan Vietnam.

Dua pingat emas disumbangkan Phi Jinq En tetap bermaksud barisan anak buah Chris Martin itu gagal mencapai sasaran sebenar, iaitu tiga emas.

"Kami jauh ketinggalan berbanding Singapura dan Vietnam. Kami perlu mengubah perkara itu. Kami memiliki lambakan atlet berbakat," ujar pengendali itu.

"Apa yang dilakukan Jinq En adalah sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang kami fikirkan dan buat atlet muda, mereka memiliki peluang yang cerah di masa akan datang," ujar Martin.



Editor: Nafis Abdullah