Pengendali skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, mengakui skuad kendaliannya perlu segera mngatasi kealpaan pada awal dan hujung permainan sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bermula.

Kelemahan yang mencetuskan kebimbangan Chun Yong itu masih kelihatan apabila barisan negara mengadakan aksi persahabatan dengan kelab yang beraksi dalam Liga Futsal Brunei, Kuantan Rangers, hari ini.

Meskipun merakamkan kemenangan besar 8-2, skuad negara ketinggalan 1-0 pada awal babak pertama sebelum berjaya mendapatkan rentak untuk mendahului 2-1 dan enam gol lagi menyusul pada babak kedua.

"Saya mahu mereka betul-betul fokus.

"Saya menjangka mereka terus mendapat rentak sebaik wisel pertama ditiupkan, bukan selepas seminit atau dua minit.

"Selain itu, tindakan penyudah juga perlu dipertajamkan lagi," katanya.

Skuad negara akan ke Bangkok dari 26 Julai hingga 2 Ogos depan untuk tiga aksi persahabatan dengan kelab-kelab Thailand dalam usaha mengatasi kelemahan barisan negara.

Dalam perkembangan lain, pemain tengah negara, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin, turut senada mengenai masalah tumpuan pemain-pemain.

"Kebiasaannya dalam tempoh lima minit awal itu, kami lambat panas.

"Kemudian ketika kami mendahului pada minit terakhir, masalah mula muncul.

"Kami mula hilang fokus," ujarnya.