Skuad sepak takraw negara mungkin terpaksa melupakan khidmat Mohammad Azlan Alias dan Syahir Rosdi bagi saingan Sukan SEA Filipina seandainya majikan mereka enggan memberi pelepasan.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan bersidang Sabtu ini bagi menentukan status Azlan dan Syahir sama ada dikekalkan atau mencari pengganti setelah mereka masih gagal melapor diri untuk kem latihan pusat.

Mereka kini terikat dengan majikan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan PSM sebelum ini sudah pun meminta bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk campur tangan bagi menyelesaikan kemelut itu.

"Kami akan cuba melakukan keputusan secepat mungkin dan jika mereka tidak dapat menyertai skuad negara, kami terpaksa mencari pengganti," kata Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail.

Dalam masa sama, PSM akan memastikan kebajikan atlet, Kamal Ishak, yang terlibat dengan kemalangan jalan raya Isnin lalu, terbela.

Kamal sudah pun selamat menjalani pembedahan di bahagian saraf tengkuk dan masih ditempatkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Setakat ini, pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah pun menghulurkan bantuan buat keluarga Kamal sepanjang penginapan mereka di Kuala Lumpur.

"Kami akan terus mengutamakan kebajikan Kamal dan PSM akan berusaha membantu dengan sebaik mungkin," kata Ahmad.