Atlet lompat kijang negara, R. Kirthana, yakin peluangnya ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tidak terjejas walaupun gagal melepasi had kelayakan temasya itu selepas menjuarai Terbuka Malaysia.

Atlet kelahiran Perak ini mencatat 13.18 meter untuk merangkul pingat emas, jauh daripada had kelayakan temasya, 13.50m.

Bagaimanapun, Kirthana optimis Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan mempertimbangkan catatan peribadi terbaiknya 13.48m yang dilakukan dalam Terbuka Kazakhstan, dua minggu lalu.

"Saya kurang berpuas hati dengan catatan ini. Saya berharap untuk membuat yang terbaik jika beraksi dalam Sukan SEA nanti," katanya.

Sementara itu, atlet lompat tinggi lelaki, Muhammad Ashraf Saipu Rahman, mengesahkan kejuaraan kedua selepas 2015, namun akur tidak berpeluang ke Sukan SEA.

Atlet kelahiran Terengganu ini mencatat lompatan setinggi 2.11m, jauh berbanding jaguh utama negara, Nauraj Singh dan Lee Hup Wei.

"Memang tiada peluang untuk saya beraksi dalam Sukan SEA selepas Nauraj dan Hup Wei melakukan lompatan yang jauh lebih baik" kata Ashraf.