Skuad ragbi wanita 7s negara sedang dalam perancangan mendapatkan khidmat jurulatih antarabangsa, Tomasi Camaneisenirosi, bagi membentuk pasukan yang mantap menghadapi Sukan SEA Filipina.

Berbaki kurang lima bulan menjelang temasya dwitahunan di Manila itu akhir November depan, skuad kebangsaan masih menunggu status kelulusan bagi menggunakan khidmat bekas pemain kebangsaan Fiji, Tomasi.

Jurulatih kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man, mengharapkan penampilan Tomasi mampu memperkuatkan barisan kebangsaan serta memberi impak positif kepada anak buahnya.

Beberapa pemain sudah disenaraikan untuk aksi Sukan SEA dan sesi pemilihan akan diteruskan dalam siri perlawanan yang akan berlangsung di Hong Kong hujung bulan ini.

"Kami masih menunggu keputusan sama ada Tomasi dapat meluangkan masa untuk membantu skuad wanita negara. Dia kini berkhidmat sebagai penasihat skuad kebangsaan Fiji, semestinya kehadirannya dapat melonjakkan mutu skuad negara," katanya.

Nik Safuan yakin kelainan yang dibawa pasukan edisi 2019 mampu mencapai petunjuk prestasi utama (KPI), iaitu sekurang-kurangnya meraih pingat perak di Filipina nanti.

"Ini merupakan barisan terbaik untuk menghadapi Sukan SEA. Kami akan berusaha untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara."