Kapten skuad ragbi 7s wanita negara, Rozliana Mohd Ridwan, memanfaatkan kehadiran pemain baru dalam pasukan, sekali gus menganggap ia sebagai satu kelebihan menghadapi cabaran Sukan SEA Filipina yang bermula 30 November depan.

Gembira dengan kelibat pemain baru seperti Shania Baduk dan Amber Solibun, Rozliana optimis pasukannya kini lengkap untuk menghadapi sebarang kejohanan.

Kekangan masa tidak menjadi masalah membina komunikasi antara mereka di mana rata-rata pemain baru mempunyai pendedahan pengalaman yang luas.

Selain fokus terarah kepada temasya dwitahunan itu, Rozliana berharap peningkatan prestasi dapat ditonjolkan rakan sepasukan sepanjang kejohanan akan datang.

"Bagi saya, kehadiran muka-muka baru ini amat diperlukan kerana skuad negara sering kekurangan pemain ketika menghadapi saingan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Malaysia menamatkan saingan selaku naib johan selepas tewas kepada pasukan jemputan, Hong Kong, dalam Kejohanan Ragbi Selangor 7s yang berlangsung sebentar tadi.

"Prestasi kami mula menampakkan peningkatan. Selepas menjalani latihan intensif selama enam bulan, Kejohanan Ragbi Selangor 7s ini memberikan keputusan positif buat kami," ujarnya.