Pengurangan mendadak acara dalam Sukan SEA Manila 2019 membuatkan skuad silat kebangsaan perlu memikirkan pendekatan untuk memastikan dominasi dalam sembilan kategori yang dipertandingkan tanpa pesilat seperti Al-Jufferi Jamari.

Sukan SEA dari 30 November-11 Disember depan akan mengetengahkan lima acara tanding manakala empat buat acara seni, jauh lebih kecil berbanding 20 kategori sewaktu penganjuran temasya Kuala Lumpur 2017.

Antara intipati mesyuarat jawatankuasa di antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) hari ini melibatkan perbincangan senarai atlet yang bakal dibentuk selain kebimbangan dalam usaha memungut seberapa banyak pingat emas.

"PESAKA memang ada memikirkan semua faktor-faktor ini bagi menghadapi Sukan SEA.

"Banyak kategori yang kami berasakan tidak mampu menyumbang pingat (kepada Malaysia) tanpa pesilat seperti Al-Jufferi dan Siti Rahmah Mohamed Nasir.

"Kami harus tingkatkan (prestasi pesilat) dalam kategori yang ditawarkan.

"Walaupun banyak kategori tidak dipertandingkan, kami perlu cuba mendapatkan prestasi terbaik untuk Malaysia," kata Naib Presiden III PESAKA, Zaihan Mohd Isa.