Persatuan sukan kebangsaan perlu melupakan hasrat untuk menyaksikan lebih banyak acara dimasukkan ke dalam Sukan SEA 2019 kerana Jawatankuasa Penganjur daripada Filipina, PHISGOC, tampak sudah muktamad dengan jumlah yang ditetapkan sebelum ini.

Perkara itu ditegaskan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, yang tidak mahu persatuan sukan kebangsaan terlalu taksub untuk mendapatkan semula beberapa acara yang digugurkan, sebaliknya segera fokus mempersiapkan pasukan bagi menghadapi temasya itu.

Masih terdapat persatuan sukan seperti Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) yang berharap acara platform disenaraikan selepas hanya empat acara papan anjal dipertandingkan.

"Bagi saya, teruskan sahaja dengan cabaran. Kami harus memulakan proses persediaan atlet untuk ke Sukan SEA. Sebagai juara bertahan, saya tahu ia bukan mudah tetapi seperti yang sering dikatakan, kualiti juga penting dalam pemilihan," kata Norza.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Operasi PHISGOC, Ramon Suzara, turut menegaskan setiap persatuan sukan hanya boleh menanti keputusan muktamad berhubung rayuan mereka sehingga awal bulan depan walaupun pada awalnya sudah memberi bayangan tiada jaminan untuk penganjur menambah acara lain.

"Kami mempunyai bahagian yang menilai perkara ini. Ia melibatkan keputusan tertinggi yang dibuat. Daripada pihak kami, selagi tiada tambahan sukan dan sebagainya, segalanya baik kerana ia mampu menambah perbelanjaan," ujar Ramon.

Sementara itu, ASUM tetap dengan pendirian untuk merayu bagi penambahan acara platform yang turut menjadi acara utama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tanpa acara platrform, ia bermakna skuad terjun bakal kehilangan sembilan pingat emas yang pernah dimenangi Malaysia dalam temasya sama dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dilihat lebih terbuka dalam menerima lima kategori bagi silat olahraga tanpa membabitkan juara dunia, Mohd Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Md Nasir, bagi kelas E Putera dan Puteri.

"Kami telah membuat rayuan untuk perkara ini. Filipina telah menerimanya dan akan menilai," kata Setiausaha Agung ASUM, Mae Chen.

"Jadi, tidak timbul soal punca buat kami. Bagi saya, ada baiknya kerana ia tidak memberi tekanan kepada Jufferi sepanjang masa," tambah Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.