Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memutuskan pelantikan pemangku Pengarah Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, dan bekas atlet berbasikal trek negara, M. Kumaresan, sebagai timbalan chef-de-mission (CDM) kontinjen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur.

Menurut Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, kriteria utama pemilihan dua calon itu ialah mereka yang boleh membantu CDM, Datuk Marina Chin, sepanjang temasya itu berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos depan.

MOM turut menitikberatkan komitmen dua timbalan CDM itu untuk memastikan persiapan atlet dan pegawai berjalan lancar.

Jefri turut berpengalaman luas selaku pegawai MSN dalam temasya sukan antarabangsa manakala Kumaresan sebagai seorang bekas atlet memahami keperluan atlet.

"Tugas yang akan dipikul oleh CDM dan timbalan-timbalannya adalah satu tanggungjawab yang sangat penting, terutama dalam menentukan persiapan atlet yang mempunyai fasa-fasa yang ditetapkan.

"Di samping itu, mereka akan melihat segala jenis persiapan, termasuk daripada pegawai, pengurus dan infrastruktur yang perlu mereka lawati," kata Norza.

Dalam pada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MOM turut membincangkan seminar CDM Sukan SEA yang akan dihadiri kesemua 11 CDM negara pada 19 Februari ini.

"Mereka dijangka akan menghadiri seminar CDM dan kemudian kita akan susun seminar ini dengan lawatan ke venue-venue pertandingan," tambahnya.