Peninju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan, menyedari peluangnya untuk mempertahankan pingat emas kategori light fly 49 kilogram (kg) dalam Sukan SEA Filipina 2019 agak sukar.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan berusia 28 tahun itu pernah mencatat sejarah dalam sukan tinju negara apabila merangkul emas kategori itu buat julung kalinya pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Fuad, yang bakal membuat penampilan kali keenam dalam temasya dwitahunan itu, berkata dia tidak menetapkan sasaran spesifik ekoran kekurangan pendedahan kejohanan luar negara.

"Untuk tahun ini, hanya dua kejohanan luar negara sahaja kami sertai berbanding peninju Thailand dan Filipina, di mana mereka sekurang-kurangnya telah sertai enam kejohanan antarabangsa.

"Kami banyak ketinggalan perlawanan. Kalau ikutkan memang hendak pertahan emas tapi saya tidak boleh jangka pihak lawan daripada segi prestasi," katanya kepada Bernama.

Dia yang menyertai Sukan SEA sejak 2009 berkata peninju dari Thailand dan Filipina bakal memberikan saingan sengit kepadanya nanti.

Fuad dan seorang lagi peninju negara, Arfiqanie Ahmad Anshori, dijadikan sandaran buat skuad negara untuk meraih pingat di Filipina selepas R. Indran membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada kem kebangsaan.

Mengulas mengenai persediaan Sukan SEA, dia mengakui mereka kini sudah mencapai tahap 80 peratus bersedia daripada segi latihan dan selebihnya akan dilengkapkan dengan beberapa kejohanan serta persiapan di luar negara pada Oktober ini.

Fuad juga akan menyertai Kejohanan Tinju Terbuka Antarabangsa Thailand pada 18 hingga 28 Julai ini dan menyasarkan untuk berada dalam kelompok 16 terbaik.

"Saya sasar 16 terbaik kerana ia akan disertai oleh peninju dari semua benua. Jika kalah, kami diberi peluang untuk cari rakan sepelatih selepas itu, dari benua berlainan. Ini peluang yang kami semua kena manfaatkan."

-- BERNAMA