Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Nik Mohd Azwan Zulkifle, berkemungkinan terlepas peluang untuk berlumba dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 atas faktor tertentu.

Sebelum ini, Nik Mohd Azwan mewakili skuad kebangsaan dalam perlumbaan LTdL

Hanya dalam edisi 2018, pelumba PDRM itu dipinjamkan ke pasukan berstatus benua, Forca Amskins Racing (FAR).

Pencapaian terbaiknya ialah ketika meraih kedudukan ketiga dalam perlumbaan peringkat ketiga dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu.

Begitupun, status FAR masih lagi belum pasti tahun ini selain ketetapan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa dia perlu lebih memberikan tumpuan kepada skuad Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.

"Saya belum pasti sama ada akan menyertai pasukan kebangsaan atau FAR.

"Memandangkan saya sudah menandatangani kontrak dengan MSN, mereka ada perancangan lain untuk saya kerana saya perlu lebih kerap menjalani latihan pusat kem kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA," katanya.

Dalam masa sama, Nik Mohd Azwan menghormati keputusan dua pelumba berpengalaman negara untuk bersara daripada sukan berbasikal.

Mereka terdiri daripada Pelumba Terbaik Asia LTdL 2016, Adiq Hussainie Othman, serta bekas pelumba PDRM, Amir Mustafa Rusli.

Jelasnya lagi, pengalaman yang dimiliki kedua-dua pelumba berkenaan masih diperlukan bagi membimbing barisan pelapis negara.

"Negara kehilangan bakat besar dalam sukan berbasikal.

"Tetapi, pengalaman Amir mungkin boleh membantu skuad negara kerana dia kini bertindak sebagai jurulatih berbasikal trek endurance," katanya.