Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau, tampil menjelaskan situasi sebenar pingat emas yang dimenangi gimnas negara, Izzah Amzan, selepas laman sesawang rasmi Sukan SEA Filipina 2019 mendedahkan ia sah ditarik balik.

Emas Izzah dalam temasya ke-30 itu, yang diungguli di samping Koi Sie Yan menerusi acara reben, dikekalkan selepas mendapat bantahan daripada kontinjen negara ketika itu tetapi beberapa hari lalu, ia didapati telah ditarik balik.

"Kami terpalit kontroversi membabitkan kemenangan emas milik Izzah, kemudian ia diberikan semula sebelum ia ditarik balik lagi.

"Pendirian kami tetap sama, peraturan Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) memang tidak membenarkan juara bersama untuk ditabalkan tetapi Sukan SEA pula sebaliknya.

"Kami berhasrat mengikuti peraturan yang ditetapkan Sukan SEA dan pihak Filipina, begitu juga dengan FIG," katanya di Bangsar South, Kuala Lumpur hari ini.

Bagi mengelak kekeliruan pada masa depan, Rachel menggesa peraturan Sukan SEA diselaraskan dengan persekutuan tersebut.

"Presiden FIG, Morinari Watanabe, telah membenarkannya pada 11 Disember lalu tetapi dalam Sukan SEA yang akan datang, iaitu dua tahun lagi, semua peraturan akan mengikut ketetapan FIG.

"Kali ini terdapat kesilapan dalam soal ketekalan terhadap peraturan, jadi ia akan dibangkitkan pada masa depan."



Editor: Shaiful Shamsudin