Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, mengesahkan ada atlet yang telah melanggar perintah berkurung selepas jam 11.30 malam di Hotel Renaissance Kuala Lumpur yang menjadi penginapan rasmi kontinjen negara sepanjang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Beng Choo, yang ditemui Nadi Arena, bagaimanapun enggan mendedahkan identiti atlet terbabit, sebaliknya telah menyerahkan kes tersebut kepada chef-de-mission, Datuk Marina Chin, bagi menyelesaikannya.

"Perkara ini telah diserahkan kepada pengurus pasukan dan persatuan dan mereka akan mengadakan perjumpaan bersama atlet supaya kami dapat mencari jalan penyelesaian terbaik agar perkara ini tidak berulang," kata Beng Choo.

Difahamkan, terdapat dua atlet -- dari skuad futsal dan badminton -- yang didapati telah melanggar perintah berkurung itu.

Pada masa sama, Beng Choo menjelaskan kedua-dua atlet terbabit kemungkinan diberikan peluang kedua tetapi keputusan bakal bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.

"Kami tidak mampu mengenakan tindakan yang terlalu tegas kerana mereka sudah berlatih beberapa tahun.

"Walaupun kesalahan ini serius, kami mahu mengingatkan atlet lain agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan," tambahnya.