Ketua jurulatih skuasy negara, Ajaz Azmat, optimis skuad kebangsaan mampu meraih empat pingat emas seperti sasaran yang diletakkan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dalam Sukan SEA di Filipina akhir tahun ini.

Dalam aksi dua tahun lalu di Kuala Lumpur, Malaysia meraih enam emas, empat perak dan dua gangsa.

Walaupun SRAM mengambil keputusan mendaftarkan pasukan kedua, mereka optimis barisan itu tetap mempunyai keupayaan meraih emas.

“Sudah tentu kami mahu meraih pingat. Kami mendominasi skuasy di Asia Tenggara, jadi kami mahu mendapatkan emas maksimum. Kami akan melihat pemain yang tampil lebih bagus serta sebarang masalah kecederaan sebelum melakukan pemilihan,” katanya.

Ajaz, yang dilantik selaku ketua jurulatih skuad senior menggantikan Peter Genever, Februari lalu, juga menambah persiapan atlet bagi menghadapi Sukan SEA kali ini berjalan lancar.

“Persiapan berjalan dengan baik. Semua pemain berlatih setiap hari. Segalanya tampak bagus.”