Sukan SEA 2019: SRAM pertaruh barisan pelapis

Oleh Staff Writer 7 Mei 2019 402
Sukan SEA 2019: SRAM pertaruh barisan pelapis
Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tidak akan menyenaraikan barisan elit negara ke Sukan SEA Filipina 2019, sebaliknya mengambil langkah drastik menggunakan barisan pelapis ke temasya dwitahunan itu.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Subramaniam, menjelaskan tradisi untuk tidak menggunakan pemain utama negara dalam saingan Sukan SEA bukanlah perkara baru kecuali ketika Malaysia menjadi tuan rumah, dua tahun lalu.

Tambah drastik, SRAM juga berkeyakinan mampu untuk menghadirkan sasaran empat pingat emas di sebalik ketiadaan pemain utama seperti S. Sivasangari, Low Wee Wern, Ng Eain Yow serta Ivan Yuen.

"Ia disebabkan kami rasa pasukan kedua kami mempunyai kredibiliti yang cukup untuk mencapai sasaran. Ketiadaan pemain senior seperti Datuk Nicol Ann David dan Nafiizwan Adnan tidak akan memberi kesan kepada kem Sukan SEA tetapi pentas seperti Kejohanan Dunia serta Sukan Asia," kata Subramaniam.

Baginya, Sukan SEA dianggap sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan muka baru tanpa mengharapkan kudrat pemain senior.

Ketika saingan Kuala Lumpur 2017, Malaysia berjaya memperoleh enam emas, empat perak dan dua gangsa.

"Kami yakin barisan kedua mampu membutirkan emas, jadi kami akan fokus kepada empat acara dan mengejar empat emas daripadanya."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen