Taekwondo Malaysia (TM) melantik jurulatih muda dari Korea Selatan, Kim Hyeong Seob, untuk mempersiapkan atlet kyorugi (tempur) negara ke Sukan SEA 2019 di Manila, November depan.

Presiden TM, Azizul Anwar Adenan, berkata jurulatih berusia 26 tahun itu juga diberi tanggungjawab untuk membantu atlet negara meraih kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun peluang itu dilihat agak tipis.

“Kim akan diberi tempoh percubaan selama tiga bulan bermula Mac ini untuk menyesuaikan diri di Malaysia, sebelum keputusan mengenai kontraknya dibincangkan, dengan tempoh minimum adalah setahun.

“Antara kriteria pemilihan adalah berdasarkan kemahirannya dan kesediaan untuk menerima gaji (USD2,500 atau RM10,188 sebulan) yang kami tawarkan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kejohanan Taekwondo Kebangsaan 2019 di Wisma OCM, hari ini.

“Beliau merupakan rakan sepelatih kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016, Lee Dae-hoon, jadi kami harap beliau dapat meningkatkan prestasi atlet Malaysia.

"Kami dapati jurulatih yang dipilih ini mempunyai pengalaman yang baik. Beliau pernah menjadi rakan sepelatih untuk juara Olimpik. Kami mahukan jurulatih muda yang bukan sahaja boleh memberi latihan tetapi turut menjadi rakan sepelatih," tambahnya.

Azizul Anwar berkata Hyeong Seob merupakan antara calon dicadangkan Persatuan Taekwondo Korea Selatan ketika delegasi TM yang diketuai beliau sendiri mengunjungi negara itu beberapa hari lalu.

Hyeong Seob bakal menggantikan tempat rakan senegaranya, Kim Hong Goun, yang kembali ke negara asalnya manakala jurulatih poomsae, Jin Jun Beom, akan terus kekal mengendalikan bahagian itu.

Sebagai rekod, kali terakhir atlet taekwondo negara layak ke Sukan Olimpik adalah pada edisi 2008 di Beijing, menerusi Elaine Teo dan Che Chew Chan, masing-masing beraksi dalam kategori wanita bawah 57kg dan lebih 67kg.

Sementara itu, Kejohanan Taekwondo Kebangsaan menyaksikan Sara Yap mempertahankan kejuaraan poomsae kategori bawah 30 tahun buat kali kelima setelah mengatasi rakan dalam kem kebangsaan, Nurul Hidayah Abdul Karim, dengan 8.04 mata.

"Saya rasa sangat berbesar hati dengan kemenangan ini. Saya berterima kasih kepada jurulatih. Ia satu pertarungan yang getir," ujar Sara.