Selepas tujuh tahun meninggalkan arena olahraga, bekas pelari 400 meter berpagar negara, Noraseela Khalid, kembali memperkuatkan barisan kebangsaan apabila bakal beraksi dalam Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Noraseela mengalami kecederaan tumit yang berpanjangan sejak 2009 sehingga 2012 dan setahun kemudian, dia memutuskan untuk bersara atas sebab keadaannya yang tidak konsisten.

Sukan SEA Filipina 2019 bakal menyaksikan atlet berumur 39 tahun itu membuat kemunculan semula, namun kali ini untuk sukan pentatlon dalam kategori laser run.

Menurutnya, pentatlon akan memberikan cabaran hebat buatnya memandangkan ia memerlukan kudrat untuk berlari di atas pantai selain menembak dalam masa 50 saat.

Bagaimanapun, daripada segi intensiti, Noraseela menganggap ia lebih ringan berbanding beraksi di atas balapan.

"Ia satu pendedahan yang baik buat kami dan saya sendiri pun masih asing dengan acara ini dan baru sahaja mula belajar menembak, saya harap dapat menguasainya.

"Kita lihatlah bagaimana hasilnya nanti kerana ia bergantung kepada komitmen dan tanggungjawab kami sendiri," katanya.

Selain mengadakan kem latihan di Thailand, Mac lalu, Noraseela berdepan kekangan masa untuk berlatih di samping rakan sepasukan atas faktor komitmen masing-masing dan tempat tinggal yang jauh.

Namun, ia tidak memudarkan harapannya untuk meraih pingat dalam temasya Filipina 2019.

"Ini kali pertama sukan ini akan dipertandingkan dalam Sukan SEA meskipun ia merupakan sukan paling tua dalam Sukan Olimpik moden," ujarnya.