Timbalan Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Petrina Low, melaungkan keyakinan skuad gimrama negara mampu membutirkan empat pingat emas daripada lima acara yang akan disertai dalam Sukan SEA Filipina, 30 November-11 Disember depan.

Skuad gimrama negara berjaya meraih enam pingat emas daripada lapan acara yang dipertandingkan dalam edisi Kuala Lumpur 2017.

Bagi mempertahankan gelaran sebagai antara penyumbang pingat emas terbesar negara, Petrina memperketatkan peraturan pemilihan atlet yang akan ditampilkan dalam temasya itu nanti.

"Tiada acara berpasukan dan all-round individu bagi edisi kali ini.

"Hanya dua wakil individu akan dipilih bagi setiap acara lain.

"Ia akan menjadi pemilihan yang ketat buat barisan atlet negara.

"Saya yakin, empat emas dapat diraih daripada lima acara yang dipertandingkan," katanya

Petrina, bagaimanapun, mengakui kejayaan yang diraih skuad negara selama ini tidak akan tercapai tanpa bantuan Majlis Sukan Negara (MSN), terutama daripada aspek peruntukan.

"Saya mahu berterima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) dan MSN kerana banyak menyalurkan bantuan kepada kami selama ini," tambahnya.