Penerjun negara, Cheong Jun Hoong, bersedia diketepikan daripada beraksi dalam Sukan SEA Filipina berikutan hanya tiga acara sukan terjun yang tersenarai untuk temasya tahun depan selain faktor kecederaannya.

Keputusan awal Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Manila, Sabtu lalu, hanya menyenaraikan tiga acara bagi sukan terjun, sekali gus menyaksikan tiada acara papan anjal akan dipertandingkan.

Selepas terpaksa diketepikan akibat faktor kecergasan, Jun Hoong terlepas aksi kegemarannya itu dalam temasya Kuala Lumpur 2017 dan kekecewaannya dijangka akan berlarutan.

"Memang saya berasa kecewa. Belum pernah keadaan ini berlaku dalam Sukan SEA yang lalu.

"Ini baru perbincangan SGF pertama dan saya harap akan ada perubahan," katanya.

Perebutan sengit untuk merebut tempat dalam tiga acara terjun pasti berlaku, namun Jun Hoong sudah bersedia dengan apa jua keputusan.

"Apapun, semuanya bergantung kepada kecederaan lutut yang sedang saya alami ketika ini.

"Saya masih fokus dalam proses pemulihan.

"Sekiranya saya kembali sihat, saya mungkin boleh pergi lebih jauh.

"Doktor menasihati saya untuk berehat selama enam bulan dan saya sudah melalui proses pemulihan selama tiga bulan.

"Saya harap dapat kembali segera," katanya.