Pelayar negara, Khairulnizam Mohd Affendy, berharap perancangan berkampung di Enoshima, Jepun tahun depan sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan kekal selepas kem latihan di Sepanyol bulan lalu dibatalkan.

Khairulnizam sepatutnya menjalani kem latihan di Sepanyol bulan lalu dan menyertai kejohanan di Australia, bulan depan sebelum perancangan itu lebur.

Menjadi antara atlet yang mendapat slot awal layak ke Tokyo membuatkan Khairulnizam mahukan persediaan lebih rapi, khususnya harapan ke Enoshima bagi membiasakan diri dengan keadaan laut yang merupakan venue sama ketika saingan Sukan Olimpik 2020.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu pernah beraksi di sana sebelum ini sambil menyifatkan keadaan persekitaran di venue itu agak rumit berbanding ketika Sukan Olimpik Rio 2016.

"Keadaan laut di Rio, kami boleh tahu beraksi dalam teluk tetapi di Enoshima, kami tampil di lautan terbuka. Jadi, apabila taufun tiba, angin akan menjadi kuat dan ombak berubah besar sehingga menyebabkan keadaan tenang menjadi berbeza, itu yang payah," katanya.

Ketika ini, Khairulnizam berlatih sendirian tanpa jurulatih, Mohd Afendy Abdullah, yang telah ditamatkan kontrak selain mengharapkan khidmatnya dapat disambung semula tahun depan bagi persediaan ke Olimpik Tokyo 2020.

"Bagi saya, dia elok dikekalkan kerana kami sudah memiliki persefahaman dan semua latihan telah dijalankan dengan baik. Perancangan juga sudah ada."