Jurulatih pelayaran negara, Mohd Affendy Abdullah, kini boleh menarik nafas lega setelah Majlis Sukan Negara (MSN) kembali menawarkan kontrak kepadanya setelah sebelum ini wujud situasi tegang membabitkan kedua-dua belah pihak.

Difahamkan, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, telah berjumpa dengan Affendy serta semua atlet pelayaran negara yang berpangkalan di Langkawi, Kedah, secara peribadi.

Pertemuan itu akhirnya meleraikan segala perselisihan faham mengenai Affendy tidak ditawarkan kontrak oleh MSN untuk menjadi jurulatih setelah Program Podium dibubarkan.

Dia kini boleh menarik nafas lega apabila dapat meneruskan tugasnya seperti sediakala, iaitu menjadi jurulatih acara laser radial dan akan mula melaporkan diri pada 1 Februari ini.

"Sebenarnya, saya tidak mendapat gambaran awal bahawa saya sememangnya dalam perancangan MSN untuk dilantik.

"Shapawi ada memaklumkan untuk berbincang dengan saya dan Khairulnizam (Affendy) tentang pelaksanaan program sebelum melantik saya.

"Tetapi saya tidak mendapat maklumat awal sehingga timbul salah faham," kata Affendy ketika dihubungi hari ini.

Affendy akan ditugaskan membimbing Khairulnizam serta Asri Azman yang bukan sahaja akan menumpukan kepada persiapan Sukan Olimpik Tokyo 2020, malah temasya penting tahun ini, Sukan SEA Manila, dari 30 November hingga 11 Disember depan.

"Saya bersikap positif dan amat berterima kasih.

"Sekiranya kami duduk berbincang, perkara ini tidak akan timbul," tambahnya.