Ketua jurulatih skuad memanah para negara, Marzuki Zakaria, enggan berpuas hati dengan hanya seorang wakil ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, sebaliknya optimis beberapa lagi pemanah akan menuruti jejak juara dunia 2019, S. Suresh, untuk menempah slot hujung tahun ini.

Suresh bukan sahaja melakar sejarah peribadi ditabalkan juara dunia, malah buat julung kalinya turut meraih slot ke Sukan Paralimpik 2020 selepas berkecimpung dalam arena itu sejak 2013.

Ia merintis laluan yang cukup baik buat Suresh menjadi prospek kepada kontinjen negara meraih pingat dalam temasya itu.

Marzuki menjangkakan beberapa lagi pemanah akan turut menyertai Suresh ke Tokyo tahun depan apabila satu lagi kejohanan, iaitu Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok, Thailand, November depan, turut menawarkan tiket ke Sukan Paralimpik.

"Penyertaan lebih ramai pemanah kita dalam Sukan Paralimpik melalui acara recurve atau compound dikira sebagai bonus," ujarnya.

Suresh pula mengulas: "Jurulatih sentiasa memberi dorongan kepada saya.

"Dalam final, beliau meminta saya agar memanah dengan tenang seperti dalam latihan.

"Saya terlalu gembira dan kelu."

Tiga tahun lalu di Rio, Brazil, Malaysia mempunyai dua wakil sahaja dalam sukan memanah para menerusi Hasihin Sanawi dan Yuhaizam Yahya, namun dalam edisi London 2012, Malaysia memenangi gangsa menerusi Hasihin yang turut disertai dua lagi pemanah, iaitu Mohd Zafi Rahman dan Zulkifli Mat Zin.

"Sasaran skuad recurve sudah lepas tetapi masih belum ada wakil negara yang meraih tiket dalam acara compound.

"Saya harap akan ada wakil negara yang dapat melakukannya di Bangkok," tambah Marzuki.