Sukan Paralimpik 2020: Atlet negara terus buru tempat 

Oleh Staff Writer 13 Jun 2019 626
 Sukan Paralimpik 2020: Atlet negara terus buru tempat 
Pengarah Bahagian Paralimpik, Majlis Sukan Negara (MSN), Halimun Mohamad Sood, mengesahkan juara Kejohanan Memanah Para Dunia, S. Suresh, antara nama awal yang sudah melayakkan diri beraksi dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Masih segar dengan kejayaan minggu lalu, Suresh kini disenaraikan antara nama awal yang sudah pun menempah slot ke temasya itu. 

Dia yang kini bergelar juara dalam Kejohanan Dunia mendapat kelayakan merit ke Sukan Paralimpik melalui kategori ST sukan memanah.

"Skuad memanah masih cuba merebut satu lagi slot dalam Sukan Paralimpik 2020, iaitu acara compound menerusi Kejohanan Memanah Terbuka Bangkok," ujar Halimun.

Selain Suresh, tiga atlet para yang lain melibatkan sukan renang dan berbasikal turut mendapat kelayakan merit.

Mereka terdiri daripada Muhd Nur Syaiful Zulkifli dan Jamery Siga (renang) selain Mohd Afiq Afify Aizan (berbasikal).

"Mungkin kita boleh mendapat lebih emas daripada Sukan Paralimpik Rio 2016 (tiga emas)," katanya lagi.

Lubuk emas negara melibatkan sukan olahraga yang bakal menampilkan tiga pemenang Sukan Paralimpik Rio 2016, iaitu Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Ridzuan Puzi, yang bakal mengesahkan kelayakan merit melalui Kejohanan Para Dunia 2019 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), 7 hingga 15 November depan.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen