Peratusan bintang badminton para negara, Cheah Leik Hou, mempertahankan emas perseorangan (su5) Sukan Para Asia 2018 berkurangan selepas kemunculan pencabar baru dari Indonesia, Dheva Anrismusthi.

Bagi yang mengikuti perkembangan saingan badmiton sukan para klasifikasi su5, kejuaraan dalam mana-mana saingan kebiasaannya ditentukan dua individu -- sama ada Leik Hou atau seteru tradisinya dari Indonesia, Suryo Nugroho.

Begitupun, Suryo sudah ada rakan sepasukan yang disifatkan sebagai pencabar yang sedang meningkat naik selepas menewaskan Leik Hou dalam Kejohanan Terbuka Thailand, Julai lalu, sebelum muncul juara.

"Pendatang baru dari Indonesia itu memang handal, baik daripada segi fizikal mahupun corak permainannya.

"Memang timbul kerisauan juga memandangkan Anrismusthi merupakan peserta tuan rumah Sukan Para Asia.

"Peratus untuk muncul juara semakin tipis," katanya.

Selepas kejohanan itu, Leik Hou tidak akan menyertai sebarang aksi di pentas antarabangsa menjelang Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Ia sebagai langkah terbaik buatnya untuk memastikan tidak berputih mata di tangan wakil tuan rumah dalam temasya itu nanti.

"Saya bertungkus-lumus menjalani persiapan untuk menghadapi Anrismusthi nanti.

"Saya sentiasa berikan yang terbaik dalam semua program latihan yang diberikan," katanya lagi.