Atlet powerlifting negara, Shamil Md Saad, akan kembali mewakili negara dalam Sukan Para ASEAN Filipina, Mac depan selepas mengalami kecederaan bahu serius selama dua tahun.

Shamil memiliki reputasi besar selaku pemenang pingat emas kategori 105 kilogram dalam edisi di Singapura pada 2015.

Tetapi kecederaan bahu yang dialaminya selepas Sukan Paralimpik Brazil 2016 merentap semangat atlet kelahiran Pahang itu memandangkan dia perlu menjalani dua pembedahan.

Kini, dia kembali diberikan kepercayaan oleh jurulatihnya, Jamil Adam, untuk menjadi sandaran utama skuad negara mencapai sasaran tiga pingat emas dalam edisi di Filipina itu.

"Kalau boleh, saya mahu merampas kembali pingat emas yang diraih Thailand pada 2017.

"Memang semangat saya lebih berkobar-kobar.

"Mungkin waktu rehat pada 2017 itu akan membantu saya melangkah lebih jauh," katanya.

Bagaimanapun, Shamil menyedari peluangnya agak kabur untuk layak ke Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos depan.

Untuk layak ke temasya terbesar itu, dia perlu melakukan angkatan minimum 180 kilogram sepanjang tempoh kelayakan hingga April depan.

"Berdasarkan prestasi sekarang, saya menumpukan untuk mendapatkan angkatan peribadi terbaik.

"Tetapi ia tidak terlalu jauh (dengan had kelayakan).

"Insya-Allah saya boleh melakukannya," tambahnya.




Editor: Muzaffar Musa