Pengarah Anti Doping Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Dr Badrul Amini Abdul Rasid, mengesahkan lapan sampel yang turut membabitkan atlet Malaysia terpaksa diuji semula selepas air kencing yang diambil ketika Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur wujud unsur mencurigakan.

Selepas tiga atlet Sukan SEA dikesan positif sampel A, kebimbangan mula menyelubungi kem Para ASEAN.

Sebanyak 136 sampel air kencing diuji dan lapan daripadanya terpaksa menjalani ujian lanjut kerana wujud unsur mencurigakan.

Situasi ini hampir sama dengan apa yang berlaku terhadap sampel air kencing atlet Sukan SEA apabila tujuh sampel diuji semula dan akhirnya, dua didapati negatif.

“Kemungkinan akan ada keputusan yang positif kerana terdapat ujian yang dilakukan semula bagi mengenal pasti unsur yang mencurigakan itu,” kata Badrul Amini.

Keputusan lapan sampel yang diuji semula dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

Selain itu, lapan sampel ujian darah juga belum diperoleh.

Bagaimanapun, tiga bintang Paralimpik negara, Mohd Ziyad Zolkefli, Mohd Ridzuan Puzi dan Abd Latif Romly, disahkan bebas bahan terlarang.

“Buat masa ini, Ziyad, Ridzuan dan Latif bebas daripada sebarang bahan terlarang.”