Dua atlet basikal para negara, Mohd Khairul Nizam Mohd Ali dan Mohd Khairul Hazwan Wahab, yang terbabit dengan kemalangan jalan raya disahkan pulih sepenuhnya dan mampu beraksi dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 yang bermula secara rasmi esok.

Rawatan susulan menunjukkan perubahan positif kepada mereka dan secara tidak langsung membuka jalan buat kedua-duanya untuk meneruskan aksi dalam acara berbasikal tandem kategori B2 dan B3 pada 20 September ini.

Kedua-dua atlet itu hanya memiliki masa selama empat hari untuk mendapatkan keserasian dengan jurumudi baru, namun hal itu tidak sukar buat mereka.

Hazwan sendiri berasakan semangatnya sudah kembali pulih selepas melewati rawatan intensif menerusi kayuhan di atas basikal dan kekuatan itulah yang akan membantunya menyumbang pingat emas seperti yang telah dijanjikan sebelum ini.

"Saya pun tidak sangka dapat meneruskan aksi dalam Sukan Para ASEAN.

"Alhamdulillah, semoga saya dapat melakukan yang terbaik," kata Khairul Hazwan.

Mereka sudah pun keluar dari hotel penginapan rasmi atlet para negara dan kembali ke pangkuan skuad berbasikal yang berpangkalan di Nilai, Negeri Sembilan, pagi tadi bagi meneruskan sesi latihan akhir sebelum bermulanya cabaran sebenar.

Ketua perubatan kontinjen Sukan Para ASEAN negara, Dr Azril Syazwan Mohd Ali, menganggap perkembangan atlet-atlet itu begitu drastik dari hari ke hari dan perkara itulah yang membuatkan mereka cepat kembali bersama pasukan berbanding tarikh yang dijangka.

"Daripada segi kecederaan yang dialami, mereka telah selesai melalui fasa pemulihan dan kini mereka akan menjalani fasa latihan di bawahan pengawasan," ujarnya.