Kontinjen Malaysia meraih dua pingat perak dalam Sukan Olimpik Khas di Abu Dhabi melalui acara boling tenpin dan olahraga, semalam.

Atlet boling tenpin, Muhammad Naiim Rosli, 20, memenangi perak bagi kategori perseorangan lelaki D34 dengan mengumpulkan 420 mata.

Emas dimenangi atlet boling Jepun, Toshiro Yagi, dengan 511 mata, manakala Sarhan Zuhir dari Singapura meraih gangsa dengan 403 mata.

Atlet olahraga negara, Muhammad Radhi Safie, 19, yang mencatat masa 29.89 saat bagi kategori 200m divisyen 8, berkongsi pingat perak dengan atlet Indonesia, Williemas Johanes Doroh, di Stadium Kelab Pegawai Polis Dubai.

Atlet Singapura, Maveric Lee Dong En, meraih emas dengan 27.87s, manakala gangsa diraih atlet Brunei, Hizam Budiman Anak Kasin, yang mencatatkan 29.97s.

Seramai 7,500 atlet kurang upaya intelektual dari 190 negara menyertai Sukan Olimpik Khas itu yang berlangsung dari 14 hingga 21 Mac ini.

-- BERNAMA