Bekas jurulatih pelayaran negara, Mohd Affendy Abdullah, berang dengan tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) yang tidak menawarkannya sebarang kontrak untuk terus membimbing atlet negara bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain berasa ia adalah bermotifkan agenda peribadi.

Affendy mendapat tahu khidmatnya tidak lagi diperlukan sejurus tamat mesyuarat jawatankuasa kerja, Jumaat lalu.

Setelah Program Podium ditamatkan, Affendy mengharapkan MSN yang kini mengelolakan program baru sukan Malaysia akan menawarkan kontrak kepada kepadanya memandangkan dia berjaya membantu anaknya, Khairulnizam Mohd Affendy, menjadi wakil pertama negara layak ke temasya Tokyo 2020.

Lebih perit, penggantinya merupakan jurulatih muda, Mohd Hafizi Rosli, yang ditugaskan membimbing Khairulnizam sempena persiapan menghadapi temasya sukan paling besar itu tahun depan.

"Berdasarkan mesyuarat jawatankuasa yang diadakan minggu lepas, sememangnya sudah ada kata putus bahawa saya tidak berpeluang (ditawarkan kontrak baru).

"Tetapi, kami akan membawa perkara ini kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ataupun berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kami berasakan ini tidak adil daripada segi pencapaian. Kami berjaya melatih atlet ke Sukan Asia 2018 dan Sukan Olimpik 2024," ujar Affendy.

Selain itu, Affendy turut mempertikaikan program persediaan untuk atlet pelayaran menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang disifatkan lambat kerana selepas lima bulan Khairulnizam layak ke temasya itu, MSN masih sepi tanpa sebarang perancangan.

Khairulnizam sehingga kini masih belum menandatangani sebarang kontrak dengan MSN, namun Affendy menjelaskan dia tidak sesekali mempengaruhi keputusan anaknya itu seandainya Khairulnizam enggan berlatih dengan jurulatih lain.

"Dia amat sedih dan masih lagi enggan menyambung kontrak.

"Dia tidak diberi peluang untuk mendapatkan jurulatih yang mampu merangka program persiapannya.

"Dengan Sukan Olimpik berbaki kurang dua tahun lagi, memang sukar untuknya menyesuaikan diri dengan gaya baru," kata Affendy lagi.