Pemain golf negara, Shahriffuddin Ariffin, mempunyai tempoh lebih kurang setahun untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selaku pemain profesional paling muda yang memenangi gelaran Order of Merit PGM pada usia 18 tahun, Shahriffuddin ataupun lebih dikenali sebagai Dino menyasarkan untuk beraksi dalam lebih banyak Kejohanan Jelajah Asia bagi memburu mata yang cukup untuk ke Sukan Olimpik.

"Saya agak bergelut juga tahun ini kerana memburu mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Ia meningkatkan motivasi saya ketika menyertai kejohanan di luar negara tetapi setakat ini, saya akan memberikan tumpuan kepada kejohanan tempatan," katanya.

Dino, yang berada di ranking ke-652 dunia, harus mencapai kedudukan 300 teratas sebelum Sukan Olimpik bagi mengisi kuota dua pemain yang diberikan kepada negara yang tiada pemain dalam kedudukan 15 teratas.

Bagaimanapun, tugas pemain berumur 20 tahun itu bukan mudah kerana sudah pasti satu slot akan menjadi milik pemain negara yang menduduki ranking ke-237 dunia, Gavin Kyle Green.

Selain itu, dia juga berdepan cabaran daripada pemain di ranking ke-499, Ben Leong, serta Nicholas Fung (682).