Badang negara, Azroy Hazalwafie Ahmad Izhar, bimbang impiannya ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 musnah apabila Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menggantung skuad kebangsaan selama setahun, termasuk daripada menyertai kempen kelayakan Sukan Olimpik.

PABM mengambil tindakan drastik itu dengan menggantung skuad negara daripada menyertai kejohanan antarabangsa sehingga 30 Mei 2019 bagi membersihkan skandal doping.

Ini bermakna skuad angkat berat tidak akan menyertai Sukan Asia Indonesia (Ogos) dan Kejohanan Dunia (November).

Ini situasi sukar buat mereka dalam kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang bermula dalam Kejohanan Dunia selain beberapa kejohanan pada 2019.

Situasi itu pasti menjejaskan peluang badang negara, terutama dua pemenang emas Sukan Komanwel 2018 yang memburu tiket ke Tokyo.

"Langkah ini menjejaskan peluang saya untuk mengutip mata dalam Kejohanan Dunia dan seterusnya layak ke Sukan Olimpik.

"Saya dan Muhammad Aznil Bidin menetapkan sasaran untuk layak secara merit, bukannya melalui 'wild card',

"Kalau melalui 'wild card', hanya salah seorang peserta negara yang akan terpilih.

"Oleh itu, saya ingin mengumpul mata sebanyak yang boleh," ujarnya.

Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) mengumumkan terdapat enam kejohanan kelayakan Olimpik Tokyo dan setiap atlet perlu menyertai sekurang-kurangnya tiga kejohanan untuk mengumpul mata kelayakan.

Namun, hanya dua atlet dibenarkan layak ke Tokyo jika negaranya mencatat banyak kes doping.

"Saya, jurulatih dan rakan seperjuangan telah membincangkan persiapan untuk menghadapi Sukan Asia.

"Kami dijangka menyertai kem latihan di Vietnam untuk persiapan ke Sukan Asia.

"Sebaik mendapat tahu berita ini semalam, saya sedih dan terkilan kerana persatuan ini digantung," katanya.