Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, memberi jaminan pemilihan atlet yang akan mewakili negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah berdasarkan aspek tertentu.

Kejayaan gandingan penerjun, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee, dalam Kejohanan Dunia FINA Ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, Ahad lalu, menerbitkan persoalan sama ada gandingan itu akan dikekalkan dalam acara 10 meter platform seirama wanita sempena temasya Tokyo 2020.

Shapawi, bagaimanapun, menekankan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan jurulatih akan berbincang dan menilai penerjun yang mampu menggalas cabaran di Tokyo memandangkan slot itu adalah slot negara.

"Sudah semestinya ASUM mempunyai strategi tertentu dan mereka mempunyai tenaga pakar.

"Kami akan berbincang dan saya percaya apa jua keputusan yang akan dibuat kelak adalah demi kebaikan negara," ujar beliau.

Sementara itu, bekas penerjun negara, Bryan Nickson Lomas, turut menawarkan pandangannya mengenai pemilihan barisan penerjun Sukan Olimpik.

"Apa yang penting ketika ini (buat mereka) adalah daripada segi persiapan tahap mental kerana kedua-duanya sudah sampai tahap di tertinggi dan berkelas dunia.

"Mereka tidak perlu lagi belajar, menambah gaya terjunan baru mahupun menambah tahap kesukaran terjunan.

"Cuma ketika ini kita nak dilihat sama ada mereka boleh beraksi dengan baik atau tidak pada saat-saat genting," ujarnya.