Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak merancang untuk meletakkan pelumba berbasikal trek wanita, Anis Amira Rosidi, yang meraih dua pingat emas dalam Kejohanan Piala Trek 1 Taiwan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kejayaan Anis merangkul emas dalam acara keirin dan pecut berpasukan wanita membuktikan Malaysia tidak ketandusan pelumba trek wanita.

Pelumba berusia 21 tahun itu menewaskan jaguh lebih senior, Fatehah Mustapa, dalam acara keirin selain bergandingan bersama Farina Shawati Mohd Adnan untuk menjuarai pecut berpasukan.

Namun, dia tidak disasarkan untuk layak ke Sukan Olimpik.

Pelumba wanita negara berdepan cabaran sukar untuk layak ke Sukan Olimpik kerana tidak banyak dihantar menyertai kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke temasya berkenaan.

"Tumpuannya bukan terarah kepada temasya Tokyo 2020, sebaliknya adalah dalam edisi 2024.

"Dia merupakan sebahagian daripada perancangan jangka masa panjang bagi pelumba trek wanita negara dan ketika ini, dia berlatih bersama-sama Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

"Dia merupakan atlet pelapis di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) dan Yayasan Sime Darby.

"Anis lebih menumpukan perhatian kepada aspek menimba pengalaman selain usaha mengumpul mata bagi kempen 2019 dan 2020 untuk melayakkannya menyertai perlumbaan Kelas 1 dan Piala Dunia," ujar Naib Presiden PKBM, Firdaus Arshad, dengan skuad negara dijadualkan tiba ke tanah air, esok.

Situasi itu berbeza dengan pelumba lelaki yang menyaksikan Azizulhasni berada di landasan tepat untuk layak dalam acara keirin, pecut individu dan pecut berpasukan.