Ketua jurulatih skuad renang negara, Paul Birmingham, menaruh keyakinan terhadap kemampuan Welson Sim untuk mara ke peringkat akhir acara 200 meter gaya bebas dalam Sukan Komanwel, April depan.

Welson menjadi taruhan terbaik skuad renang negara untuk menamatkan penantian pingat dalam Sukan Komanwel yang kali terakhir dimenangi oleh Alex Lim Keng Liat pada 2002.

Atlet tunggal renang dalam Program Podium itu dijangka meneruskan rentak konsisten selepas cemerlang dalam temasya KL2017, Ogos lalu.

Di Gold Coast, Australia, acara 200m gaya bebas menjadi taruhan terbaik buat atlet berusia 24 tahun itu untuk memburu pingat.

"Ketika ini, jika dia (Welson) berupaya mara ke final acara 200m atau 400m, ia menakjubkan kerana persaingan sengit melibatkan acaranya.

"Welson bakal bersaing dengan empat juara dunia, dua daripadanya adalah juara Sukan Olimpik," katanya.

Selain Welson, empat lagi perenang turut tersenarai ke Sukan Komanwel, iaitu Chan Jie, Tern Jian Han, Keith Lim dan Caroline Chan.

Persiapan skuad negara untuk ke Gold Coast begitu sederhana berikutan tidak banyak pertandingan yang akan disertai sehingga April nanti.

Lantas, Birmingham percaya kunjungan ke Perth, Australia, untuk sesi latihan dan kejohanan jemputan, minggu lalu banyak membantu persediaan anak didiknya.

"Antara faktor yang membuatkan Sukan Komanwel sukar adalah faktor masa memandangkan edisi kali ini bermula awal dan akan ada perubahan persiapan.

"Bagaimanapun, kami tidak mempunyai banyak kejohanan untuk bersaing di negara serantau. Sebab itu saya meminta Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) untuk menghantar atlet negara ke Perth, Australia minggu lalu," katanya lagi.