Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, mengidam untuk memperbaiki penampilannya dalam acara individu dengan melayakkan diri ke pentas akhir Sukan Komanwel Gold Coast, Australia.

Untuk penampilan kali ketiga dalam temasya itu, Farah mengharapkan dirinya lebih matang daripada segi persembahan dan berada di tahap terbaik bagi saingan individu keseluruhan dengan menyasarkan aksi final buat kali pertama.

Mengakui ia bukan mudah, namun jika dia cemerlang dalam saingan individu, aksi berpasukan juga sekurang-kurangnya mampu diperbaiki yang menyaksikan mereka menduduki tempat ketujuh keseluruhan di Glasgow.

"Kami perlu perbaiki rutin dalam kesilapan individu sebab kekuatan pasukan bergantung kepada individu.

"Kalau kami beraksi cemerlang secara individu, ia akan melonjakkan mata yang dikumpulkan pasukan," katanya.

Ketika ini, Farah bersama dua lagi rakan senegara, Tracie Ang dan Tan Ing Yueh, sudah pun berada dalam senarai Sukan Komanwel dan hanya menunggu satu nama lagi bagi melengkapkan cabaran berpasukan.

Pemilihan awal ketiga-tiga nama itu merujuk kepada prestasi individu yang menyaksikan mereka menyumbang pingat dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

"Sukan SEA melibatkan enam peserta dan untuk temasya ini, hanya empat yang akan terpilih.

"Kami mempunyai tiga lagi calon yang mantap dan kedudukan kami masih dalam perbincangan lagi," katanya.