Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman, menganggap laluan berbukit menjadi cabaran utama bagi acara lebuh raya dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Berlumba di Indonesia bukanlah asing buat Zawawi kerana dia pernah menyertai beberapa perlumbaan berbentuk jelajah di sana sebelum ini.

Berdasarkan pengalaman itu, dia percaya laluan bagi saingan lebuh raya menjanjikan cabaran tersendiri buat semua pelumba.

Walaupun tumpuan sudah pasti terarah kepada pelumba dari Jepun, Kazakhstan dan Iran untuk buruan pingat, Zawawi yakin peluang buat wakil negara untuk memberi saingan tetap ada.

"Pelumba-pelumba yang berpotensi untuk menang itu kami sudah kenal pasti.

"Laluan terakhir dalam Sukan Asia adalah berbukit. Siapa yang kuat memang boleh menang. Jadi, kami memang serius dalam laluan berbukit," ujarnya.

Selain Zawawi, acara lepas beramai-ramai turut menyaksikan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakhruddin Marzuki, di samping Nik Mohd Azwan Zulkiflie yang mewakili Forca Amskin Racing (FAR).

Zawawi berkata antara persiapan yang diharunginya bersama TSC untuk ke Sukan Asia termasuk latihan di Turki di samping sedang meneliti satu atau dua lagi perlumbaan sebelum ke Jakarta nanti.

"Kami banyak menghantar pelumba-pelumba ke Eropah atau latihan di kawasan tinggi.

"Latihan itu dirasai boleh membantu kami untuk menghadapi Sukan Asia nanti," tambahnya.