Atlet wusyu negara, Wong Weng Son, fokus kepada persiapan untuk menghadapi Kejohanan Taijiquan Dunia di Bulgaria pada September depan dan secara tidak langsung memberi bayangan awal bahawa dia sedia melupakan cabaran dalam Sukan Asia Indonesia, sebulan sebelum itu.

Weng Son memegang status selaku juara dunia acara jianshu susulan kejayaan di Kazan, Russia, tahun lalu.

Begitupun, timbul kemungkinan acara itu tidak akan dipertandingkan dalam Sukan Asia sehingga memaksa Weng Son memilih acara lain sekiranya dia berhasrat untuk mengambil bahagian.

Lantaran itu, dia bersikap terbuka apabila memberi laluan kepada rakan-rakannya untuk menyertai Sukan Asia sementara dia memberi fokus kepada Kejohanan Taijiquan Dunia.

"Saya tidak begitu risau. Kalau berpeluang untuk menyertai Sukan Asia, saya anggap ia sebagai tuah.

"Saya tidak terlalu fokus untuk menukar acara memandangkan kita masih mempunyai atlet pelapis yang mampu memberikan saingan," katanya.

Andai Weng Son tidak mengambil bahagian, taruhan utama skuad wusyu sudah pasti kepada Yeap Wai Kin yang merupakan atlet tunggal sukan itu dalam Program Podium.

Dalam perkembangan lain, Weng Son menaruh keyakinan dapat meneruskan rentak cemerlang tahun ini sebagai persediaan awal untuk menghadapi Sukan SEA Manila di samping mempertahankan gelaran dunia di Shanghai, China, tahun depan.

"Saya akan berlatih bersungguh-sungguh sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2019.

"Selain daripada itu, saya harap dapat sekali lagi meraih pingat emas dalam Kejohanan Dunia tahun depan," ujarnya.