Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Majlis Olimpik Asia (OCA) yang dipengerusikan Tan Sri Dr M. Jegathesan memberi amaran kepada mana-mana atlet yang mengambil bahan terlarang jenis terbaru bahawa mereka tidak akan terlepas daripada ujian doping yang sudah bermula sejak Jumaat lalu.

OCA akan menguji lebih ramai atlet berbanding 1,500 sampel bagi temasya Incheon 2014.

Ia susulan peningkatan jumlah atlet Sukan Asia Indonesia 2018 yang menyaksikan 9,501 atlet akan mengambil bahagian.

Malah, OCA sudah mengenal pasti beberapa jenis sukan yang akan menjadi sasaran ujian doping berdasarkan jumlah kes yang dicatatkan di peringkat antarabangsa.

"OCA mempunyai formula yang perlu dipatuhi. OCA memilih untuk mengadakan ujian berdasarkan jenis sukan yang dikenali sebagai 'pelan pengagihan ujian' (TDP).

"Kami mengikuti formula yang disyorkan itu. Sudah tentu, ada jenis sukan yang berisiko tinggi berbanding yang lain yang menyebabkan jumlah ujian akan ditingkatkan," katanya.

Temasya Incheon 2014 menyaksikan sebanyak tujuh kes positif dikesan, termasuk membabitkan atlet wusyu negara, Tai Cheau Xuen, yang menyebabkan pingat emas acara nanquan/nandao yang dimenanginya ditarik balik.

Sukan Asia musim sejuk di Sapporo, Jepun, tahun lalu mencatat sejarah apabila tiada sebarang kes doping dicatatkan, secara tidak langsung menjadi petanda baik menjelang temasya Jakarta-Palembang yang akan membuka tirai Sabtu depan.

"Peraturan yang ditetapkan adalah sama, tidak kira di Incheon mahupun Doha.

"Ini bermakna pihak jawatankuasa perlu menerima laporan keputusan doping negatif tidak lebih daripada tempoh 24 jam setelah ujian doping dijalankan.

"Bagi kes doping positif, kami berharap keputusannya akan dikeluarkan dalam tempoh 48 jam. Namun, ada masanya ujian tersebut memerlukan masa yang lebih lama untuk dipastikan lebih lanjut.

"Secara umumnya, kami akan menumpukan satu persatu kes," tambahnya.