Sukan Asia: Tiada tekanan buat skuad wushu negara

Oleh Staff Writer 7 Jun 2018 609
Sukan Asia: Tiada tekanan buat skuad wushu negara
Penyertaan di bawah kategori A tidak memberikan lebih tekanan buat skuad wushu negara dalam memastikan mereka antara yang dapat menyumbangkan pingat buat kontinjen Malaysia dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Meskipun tiada pingat berjaya dibutirkan dalam Sukan Asia di Incheon empat tahun lalu, skuad wushu negara tetap bersemangat meneruskan kempen kali ini.

Antaranya sudah pasti berdasarkan pencapaian yang diraih dalam Kejohanan Dunia di Kazan, Russia tahun lalu dengan kutipan dua emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Wong Weng Son adalah antara atlet yang cemerlang meraih emas ketika itu dalam acara jianshu.

Meskipun dia akan bertanding dalam changquan di Indonesia nanti, Weng Son tetap percaya dengan kemampuannya untuk meraih pingat.

"Saya rasa ia lebih fokus dalam Sukan Asia nanti. Kami tidak boleh fikir tentang berapa acara yang disertai," katanya.

Selain Weng Son, atlet wushu lelaki negara yang tersenarai ke Sukan Asia ialah Yeap Wai Kin, Calvin Lee dan Loh Jack Chang.

Dalam pada itu, saingan wanita menyaksikan tiga wakil negara akan mengambil bahagian, iaitu Tan Cheong Min, Audrey Chan dan Phoon Eyin.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti Cheong Min susulan kejayaannya meraih tiga pingat dalam Kejohanan Dunia yang juga penampilan sulungnya di peringkat tertinggi.

"Mengenai keyakinan, saya perlu berlatih untuk mendapatkan keyakinan dalam setiap rutin. Ia boleh memberikan saya lebih keyakinan ketika dalam pertandingan," kata Cheong Min.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen