Kejohanan Terbuka Malaysia 2018 menjadi aksi kompetitif terakhir buat pemain skuasy nombor satu negara, Nafiizwan Adnan, sebelum memberi tumpuan penuh terhadap persiapan ke Sukan Asia 2018.

Musim 2018 antara yang terbaik buat Nafiizwan selepas menjuarai Terbuka Manitoba di Kanada pada Mac lalu, di samping meraih pingat gangsa di pentas Sukan Komanwel Gold Coast, sebulan kemudian.

Bagaimanapupn, kecederaan betis kiri yang dialami ketika Terbuka British bulan lalu menyaksikan momentum persembahannya sedikit terjejas.

Keyakinan ditemui semula oleh Nafiizwan susulan kejayaan menjuarai kejohanan kebangsaan awal bulan ini dan dia berharap kisah sama dapat diulangi dalam Terbuka Malaysia tatkala rakan senegara, Ivan Yuen, menjadi halangan pusingan pertama hari ini.

"Saya mahu lihat apa yang sudah dicapai selama dua minggu dan fokus utama pastinya ingin menang. Bagaimanapun, Sukan Asia lebih penting berbanding saingan minggu ini," katanya.

Dalam Sukan Asia nanti, Nafiizwan bakal menjadi salah seorang daripada wakil negara untuk acara perseorangan serta saingan berpasukan.

Baginya, Hong Kong dilihat menjadi pilihan utama dalam cabaran kali ini tetapi yakin peluang Malaysia tetap cerah untuk meraih pingat.

"Jika diikutkan berdasarkan prestasi, Hong Kong adalah pilihan utama tetapi apabila beraksi dalam kejohahan, tekanan itu berbeza. Jadi, sesiapa sahaja tetap berpeluang."