Jurulatih tinju negara, Azmi Md Yunus, terpaksa membatalkan hasrat untuk menghantar Muhamad Fuad Redzuan ke program latihan fasa akhir di luar negara dalam persiapan untuk menghadapi Sukan Asia 2018.

Sebelum ini, Azmi bercadang untuk menghantar Fuad menjalani program latihan fasa akhir di luar negara, dengan Thailand menjadi antara lokasi pilihan.

Faktor masa serta kos mengakibatkan ia tidak menjadi kenyataan tetapi Azmi sudah mempunyai perancangan lain buat Fuad, antaranya sesi latihan bersama beberapa pasukan negeri yang dalam persiapan untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, September nanti.

"Banyak negeri yang membuat persiapan SUKMA dan peninju-peninju juga mampu bersaing.

"Dalam perkara melibatkan Fuad yang akan beraksi dalam kategori 49 kilogram, kami akan naikkan tahap rakan pertarungannya kepada 56kg, jadi kami akan menaikkan saingan untuknya," kata Azmi.

Sementara itu, Fuad menjelaskan dia kini sudah menghampiri tahap terbaiknya sebelum ke Jakarta pada 22 Ogos.

Apa yang menjadi keutamaannya kini adalah untuk melakukan analisis terhadap peninju yang berkemungkinan menjadi tentangannya dalam pusingan pertama nanti.

Kejohanan jemputan di Manado, Indonesia baru-baru ini menjadi aksi kompetitif terakhir buat dirinya dan dia dapat melihat kemampuan beberapa peninju dari rantau Asia.

"Sekarang saya sudah melakukan 85-90 peratus persiapan, jadi bakinya saya dan jurulatih akan cuba membaca pihak lawan dari negara-negara Asia. Kami mengkaji corak permainan mereka.

"Jadi, baki 20 hari untuk latihan di Malaysia saya rasa tiada masalah," tambah Fuad.