Ketua jurulatih skuad bola keranjang wanita negara, Yoong Sze Yuin, masih merahsiakan senarai empat pemain ke Sukan Asia 2018 bagi saingan tiga lawan tiga.

Ketika ini, Malaysia masih belum mengetahui siapa lawan mereka dalam peringkat kumpulan dan sehingga hari ini, sebarang proses undian belum memberikan maklum balas buat Sze Yuin, kemungkinan besar hanya beberapa hari sebelum saingan tiga lawan tiga bermula pada 21 Ogos nanti.

Atas dasar itu, segala kesempatan akan digunakan sebaik-baiknya oleh Sze Yuin untuk mempersiapkan skuad yang berupaya bersaing dengan mana-mana negara pilihan dalam acara itu.

Seperti acara tradisi, saingan tiga lawan tiga juga semakin penting buat Sze Yuin memandangkan format ini dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Antara persiapan fasa akhir yang dilalui keseluruhan skuad wanita sebelum pengumuman senarai ke Sukan Asia adalah Kejohanan Jemputan di Xiamen, China bermula 10 Ogos ini.

"Tahun ini, terdapat banyak kejohanan tiga lawan tiga seperti di Filipina sebagai contoh. Jadi, mereka (pemain-pemain kita) sudah tahu bagaimana untuk beraksi.

"Saya berharap mereka dapat sekurang-kurangnya mara ke pusingan kedua untuk bertarung dengan pasukan-pasukan besar Asia seperti Jepun, China dan Korea Selatan. Diharapkan, tahap kami dapat menghampiri mereka," ujar Sze Yuin.