Dua penembak air rifle negara, Nur Suryani Mohamed Taibi dan Ezuan Nasir Khan, kecewa apabila digugurkan daripada beraksi dalam Sukan Asia Indonesia 2018 tatkala persiapan rapi sudah dilakukan.

Enam penembak negara dan tiga penembak double trap telah disenarai pendek untuk menggalas cabaran di Indonesia bulan depan, namun ia tidak termasuk Suryani dan Ezuan yang begitu mengharapkan aksi di pentas berkenaan.

Suryani terkilan namanya tidak disenaraikan kerana dia tidak pernah gagal untuk menyumbang pingat dalam Sukan Asia sejak edisi 2010.

Tidak menafikan kemampuan penembak muda yang dipilih, iaitu Nur Izazi Rosli, bagaimanapun Suryani mengharapkan pemilihan yang lebih telus mampu dibuat untuk beraksi di negara jiran itu.

"Sebenarnya, ia menjadi pelik kerana nama itu diumumkan secara tersembunyi tanpa dihebahkan melalui sebarang perbualan aplikasi Whatsapp. Tiba-tiba, saya diberitahu Jumaat lalu merupakan tarikh tutup penyertaan.

"Ia sudah terlambat tetapi agak kecewa dengan apa yang terjadi," ujar Suryani.

Sementara itu, Ezuan pula tidak dapat menerima alasan dia digugurkan walaupun acara 50 meter rifle prone yang membolehkannya menghadiahkan pingat perak buat negara ketika Sukan Asia 2014 tidak dipertandingkan kali ini tatkala dia percaya masih mampu untuk melakar kejutan menerusi 10m air rifle di Indonesia.

"Saya memang rasa sedikit kecewa kerana orang hanya melihat kepada acara 50m rifle prone tetapi tidak melihat akan bahagian 10m air rifle lelaki sedangkan skor saya tidak jatuh dan masih kekal," kata Ezuan.