Sukan Asia: Skuasy cetus harapan pingat di Indonesia

Oleh Staff Writer 9 Julai 2018 415
Sukan Asia: Skuasy cetus harapan pingat di Indonesia
Skuasy sudah bersedia untuk menutup mulut pengkritik terhadap kemampuan menghadirkan pingat emas dalam Sukan Asia Indonesia 2018, bulan depan.

Hasrat itu dibuktikan dengan persaingan hebat ketika perebutan gelaran dalam Kejohanan Kebangsaan yang baru melabuhkan tirai, semalam.

S. Sivasangari mengesahkan status sebagai wakil saingan individu ke Sukan Asia di samping Datuk Nicol David selepas muncul juara tetapi kontinjen Malaysia juga pasti tentunya mahu melihat aksi finalis Kejohanan Kebangsaan, Low Wee Wern, yang turut disenaraikan selepas hampir 20 bulan diketepikan akibat kecederaan lutut serius.

"Saya rasa bagus dan amat gembira dapat memenangi kejohanan ini. Wee Wern menampilkan permainan hebat. Dalam masa sama, saya rasa terlalu banyak tekanan yang hadir daripada diri sendiri," kata Sivasangari.

"Kemenangan dalam set pertama sangat penting, ia menambah keyakinan. Wee Wern bermain sangat baik tetapi secara keseluruhan, saya rasa bagus."

"Selepas tersisih dalam tempoh yang lama, saya tidak tahu apa yang patut dijangkakan. Saya rasa permainan saya semakin baik. Lebih banyak perlawanan diperlukan untuk saya kembali ke prestasi asal," ujar Wee Wern.

Bagi wakil lelaki, juara kebangsaan, Ivan Yuen, terus mengukuhkan kemampuan untuk memikul tugas memburu emas bersama pemain senior, Nafiizwan Adnan.

Ujian terakhir buat mereka sebelum berangkat ke Sukan Asia 2018 adalah pentas Terbuka Malaysia yang akan turut disertai lawan di Indonesia nanti.

"Sudah pasti saya mahu mendapatkan emas di Indonesia nanti, jadi saya akan terus bekerja keras untuk mempersiapkan diri.

"Saya gembira dapat terus berkembang dalam permainan dan diharapkan prestasi hari ini dapat dikekalkan dalam saingan Sukan Asia 2018 nanti," kata Ivan.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen