Tiada sebarang pertandingan dalam baki dua bulan sebelum menghadapi Sukan Asia Indonesia tetapi ia nyata tidak membimbangkan atlet wushu negara, Wong Weng Son.

Skuad wushu negara terus menjalani latihan seperti biasa di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil dalam persediaan untuk menghadapi Sukan Asia, Ogos depan.

Dalam tempoh itu, tiada pertandingan yang dapat menguji kemampuan mereka, namun Weng Son percaya ia bukan alasan untuk mereka tidak dapat meningkatkan persembahan.

Sehubungan itu, dua program latihan di Macau dan China pada hujung bulan ini menjadi tumpuan utama buat dirinya memperbaiki rentak.

Tahun lalu, Weng Son mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara kategori jianshu dalam Kejohanan Dunia di Kazan, Russia.

"Kami akan pergi ke Macau dan mengadakan satu ujian di sana. Ia sebahagian daripada persiapan untuk ke Sukan Asia. Lepas itu, kami akan ke Hangzhou, China untuk latihan selama 18 hari," kata Weng Son.

Selain Weng Son, skuad wushu negara turut membariskan enam lagi atlet, antaranya Loh Jack Chang, Yeap Wai Kin dan Phoon Eyin.

Meskipun penyertaan dalam edisi empat tahun lalu di Incheon gagal meraih sebarang pingat, Weng Son berasakan saingan kali ini lebih terbuka.

Penyertaan semua atlet wushu negara ke Sukan Asia kali ini adalah atas tiket kategori A.

"Dalam acara yang saya sertai, memang ada peluang lebih baik berbanding dengan negara lain seperti Myanmar, Indonesia dan Vietnam. Mereka juga akan fokus dalam acara saya," katanya lagi.