Skuad renang berirama negara melakukan perubahan bagi menghadapi Sukan Asia Indonesia 2018 bulan depan apabila Gan Hua Wei akan digandingkan dengan Foong Yan Nie dalam rutin teknikal duet bagi mengurangkan beban atlet senior.

Prestasi Hua Wei-Yan Nie ketika Siri Dunia Renang Berirama di China dan Jepun, April lalu, jelas telah meyakinkan pengendali negara, Long Yan.

Gandingan itu dikekalkan untuk menghadapi Sukan Asia Indonesia bagi rutin teknikal sementara Hua Wei akan kembali bersama Lee Yhing Huey dalam duet bebas.

Yhing Huey yang baru pulih daripada pembedahan bahu ternyata kesuntukan masa buat melakukan persiapan rapi, terutama apabila renang berirama disenaraikan ke Sukan Asia.

“Setakat ini, semua perancangan tampak baik. Kami ke China dan Jepun dengan prestasi yang bagus,” ujar Hua Wei.

“Hua Wei jelas lebih senior berbanding saya tetapi saya diberikan peluang untuk bergandingan dengannya di Indonesia nanti. Saya banyak belajar daripadanya,” tambah Yan Nie.

Mata rutin teknikal dan bebas akan dicampurkan untuk menentukan kedudukan muktamad negara peserta dalam acara duet.

Skuad negara tidak akan menyertai sebarang kejohanan sebelum Sukan Asia dan hanya hanya berlatih di Bukit Jalil.

Prestasi terbaik Malaysia dalam Sukan Asia adalah menduduki tangga keenam di Guangzhou, China pada 2010.