Setiausaha Kehormat, Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM), Chan Foong Keong, mengesahkan bahawa pihaknya telah menghantar rayuan untuk membawa masuk 10 atlet ping pong ke kategori A dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos ini.

Beliau berkata ia bergantung kepada budi bicara pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam usaha untuk membantu skuad ping pong.

Secara jelas, kredibiliti yang dimiliki pemain negara sukar untuk menandingi jaguh Asia yang memiliki tahap permainan di peringkat dunia, namun atas dasar kekangan kewangan, TTAM mengharapkan ada ruang diberikan MOM.

"Sasaran kami adalah kami tidak mahu pulang tanpa pingat, ia tujuan kami hantar atlet ke sana.

"Kami membuat rayuan kepada MOM untuk dipertimbang berada dalam kategori A. Kami akan menunggu maklum balas daripada mereka bagi mengetahui apakah kedudukan kami," katanya.

Rayuan pihak TTAM melibatkan lima pemain lelaki dan lima pemain wanita.

Kejayaan beregu wanita negara, Ho Ying dan Karen Lyne, yang muncul selaku pemenang pingat gangsa dalam Sukan Komanwel Gold Coast diharap mampu memjadi batu loncatan untuk ping pong negara membantu Malaysia menghadirkan pingat dalam Sukan Asia.

"Kami bergantung kepada pemain utama untuk bermain dalam pertandingan tahap tinggi seperti Sukan Asia ini.

"(Tetapi) pada masa yang sama, kami berharap MOM dan MSN dapat membantu kami menyediakan peluang kepada pemain lain untuk beraksi dalam kejohanan tahap tinggi ini," kata Foong Keong lagi.