Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, percaya dia mempunyai peluang untuk mara lebih jauh dalam saingan Sukan Asia Indonesia sekiranya mendapat undian yang seimbang bagi acara perseorangan.

Aksi di Indonesia merupakan tugasan utama kedua buat Sivasangari selepas mewakili negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu, dan kali ini, dia masih menjadi salah seorang daripada wakil negara untuk acara perseorangan di samping ratu skuasy, Datuk Nicol David.

Bagi Sivasangari, dia yakin dengan kemampuannya bersaing bersama pemain handalan Asia, khususnya dari Hong Kong.

"Bagi saya, cabaran utama buat Malaysia akan hadir daripada wakil Hong Kong dan India. Ia bakal menjadi aksi yang sukar tetapi diharapkan saya dapat melangkah jauh," ujar Sivasangari.

Satu sesi perlawanan simulasi bakal diadakan buat skuad wanita negara bagi menguji sejauh mana mereka dapat menghadapi tekanan sewaktu di Jakarta nanti.

Selain Sivansagari dan Nicol, dua lagi pemain yang dijangka melengkapkan skuad wanita negara adalah Low Wee Wern yang kembali daripada kecederaan jangka panjang, serta Rachel Arnold.

"Saya cuba untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan, menggabungkan elemen kekuatan dan kepantasan untuk mendapatkan persembahan yang lebih baik," katanya lagi.